Diterbitkan pada: 14 Mei 2025
Pei-Si Lai Dilantik Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GXS Bank; Kaushik Chowdhury Ketua Pegawai Eksekutif GXBank Baharu
●
Peralihan kepimpinan susulan persaraan Muthukrishnan Ramaswami, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan kini
●
Hildah Hamzah akan menyokong Kaushik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi GXBank
PETALING JAYA, 14 Mei 2025 – GXBank, bank digital subsidiari GXS Bank di Malaysia, hari ini mengumumkan penstrukturan semula dalam barisan pengurusan kanannya.
Berkuat kuasa 1 Jun 2025, Pei-Si Lai, Ketua Pegawai Eksekutif GXBank kini, akan mengambil alih peranan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GXS Bank, berikutan persaraan Muthukrishnan Ramaswami (Ramu).
Menggantikan Pei-Si di GXBank ialah Kaushik Chowdhury, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Komersial (Runcit) kini. Beliau akan disokong oleh
Hildah Hamzah, yang akan memegang jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi, bersama-sama barisan pengurusan kanan GXBank.
Pei-Si telah menerajui pelancaran GXBank pada November 2023, seterusnya memperoleh lebih satu juta pelanggan dalam tempoh setahun. Di bawah kepimpinan Pei-Si, GXBank turut meraih beberapa pengiktirafan industri yang terkemuka, termasuk Bank Digital Terbaik Malaysia serta anugerah dalam bidang tadbir urus, risiko dan pematuhan, serta inovasi Gen-AI mereka.
"Kami berbangga dengan pencapaian GXBank," kata
Datuk Zaiton, Pengerusi Lembaga Pengarah GXBank. "Kepimpinan berwawasan Pei-Si telah mendorong pencapaian yang mengangkat reputasi GXBank, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai bank digital terkemuka di Malaysia. Bersama-sama, barisan pengurusan ini telah mengharungi pelbagai cabaran dalam membina institusi baharu ini dan membawanya ke tahap hari ini."
Datuk Zaiton turut menambah bahawa pelantikan Kaushik dan Hildah juga mencerminkan kekuatan barisan kepimpinan GXBank. Dengan pengalaman luas mereka dalam industri perbankan dan di GXBank,
Kaushik dan Hildah bersedia untuk memajukan tumpuan GXBank untuk memperkasakan rakyat Malaysia supaya mencapai daya tahan kewangan, dan memupuk keterangkuman kewangan melalui perbankan Runcit dan PMKS, seterusnya mengubah landskap perbankan Malaysia.
Pei-Si mengiktiraf sokongan padu daripada pasukan perintis dan rakan kongsi GXBank sejak penubuhannya, mengenang perjalanan bersama dalam membina bank ini. "Dengan Kaushik, Hildah, bersama ketabahan dan keyakinan barisan kepimpinan, saya yakin akan masa depan GXBank. Komitmen kami kekal utuh untuk memperkukuh keterangkuman dan daya tahan kewangan untuk semua rakyat Malaysia. Saya juga ingin merakamkan penghargaan tulus kepada Bank Negara Malaysia dan Lembaga Pengarah GXBank atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan. Dalam peranan baharu saya, saya berharap dapat menerajui transformasi perbankan serantau menerusi visi Kumpulan GXS di Asia Tenggara."