Diterbitkan pada: 5 November 2024

‘GX 2.0: Next Starts Now’ - GXBank Memperkenalkan Produk Pinjaman & TeXnovasi


GX FlexiCredit dan GX Biz Banking bertujuan membantu rakyat Malaysia dan PMKS mencapai matlamat kewangan mereka

GXBank dan Grab Malaysia meneruskan misi pembangunan negara dengan TeXnovasi, disokong oleh Cradle, MYStartup dan 1337 Ventures



PETALING JAYA, 5 November 2024 – GXBank (GX Bank Berhad) meraikan ulang tahun pertama dengan memperkenalkan produk kewangan terbaharu dalam membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mencapai matlamat kewangan mereka melalui pelancaran ‘GX 2.0 - Next Starts Now.’

Acara yang sama turut menyaksikan pelancaran TeXnovasi, satu usaha hasil kerjasama antara GXBank dan Grab yang disokong oleh Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), MYStartup dan 1337 Ventures yang bertujuan untuk membina ekosistem keusahawanan berasaskan teknologi yang terangkum dan mampan di Malaysia.

Pei-Si Lai, Ketua Pegawai Eksekutif GXBank, berkata, “Kami mempunyai hampir satu juta rakyat Malaysia setakat ini yang telah memilih kami untuk bersama mereka dalam perjalanan mencapai matlamat kewangan mereka. Secara keseluruhan, mereka telah membuat lebih daripada 24 juta transaksi dan membuka lebih daripada 900,000 Poket Simpanan. Pemahaman yang mendalam ini membolehkan kami menawarkan kemudahan pinjaman sebagai langkah seterusnya untuk membantu mencapai matlamat kewangan mereka.”

“Kami juga teruja dengan peluang untuk bekerjasama dengan pemimpin industri seperti Grab Malaysia, Cradle, MYStartup dan 1337 Ventures dalam usaha bersama mengembangkan ekosistem syarikat perintis teknologi Malaysia,” tambah Pei-Si.

Mengubah Cara Rakyat Malaysia Membuat Pinjaman

GX FlexiCredit akan diperkenalkan secara berperingkat kepada rakyat Malaysia mulai November 2024. Mereka yang layak dan memenuhi syarat boleh menerima kelulusan segera untuk had kredit sehingga RM150,000 dalam hanya beberapa minit. Pelanggan juga mempunyai fleksibiliti untuk mendapatkan pengeluaran tunai segera (dengan hanya faedah ke atas jumlah pengeluaran) dan pilihan untuk menyelesaikan bayaran lebih awal tanpa sebarang yuran.

Selaras dengan usaha kerajaan dan salah satu fokus Belanjawan Madani 2025 untuk menutup jurang pembiayaan bagi PMKS, GX Biz Banking adalah penyelesaian sehenti untuk komuniti perniagaan membuka akaun dan memperoleh akses lebih mudah kepada sokongan pembiayaan, yang sebelum ini merupakan cabaran besar bagi perniagaan kecil di Malaysia.

Seperti akaun GX individu, akaun GX Biz adalah yang pertama dalam industri yang menawarkan pendaftaran digital sepenuhnya dan pembayaran kadar faedah harian untuk perniagaan. Dengan akaun GX Biz, usahawan mikro boleh memohon GX Biz FlexiLoan dengan mudah melalui aplikasi dan, jika layak, mendapat kelulusan segera untuk had kredit sehingga RM150,000. Pelanggan juga mempunyai pilihan tempoh pembayaran fleksibel sehingga 3 tahun, serta fleksibiliti untuk membuat pembayaran awal tanpa sebarang yuran atau faedah tambahan.

Bermula dengan ekosistem Grab Malaysia, GXBank menyasarkan untuk memperluaskan akses GX Biz Banking kepada semua perniagaan kecil di seluruh Malaysia menjelang suku pertama tahun 2025.
TeXnovasi: Inkubator Usahawan Teknologi Masa Depan

TeXnovasi oleh GXBank dan Grab Malaysia bertujuan untuk memajukan ekosistem syarikat rintis (startup) di Malaysia melalui kerjasama dengan institusi kewangan.

Program ini akan menyediakan bimbingan peribadi daripada pemimpin industri, di samping bengkel yang dikendalikan oleh pakar mengenai inovasi, kemasukan pasaran, dan cara mendapatkan pelaburan. Syarikat perintis tempatan yang ingin mencipta penyelesaian berimpak untuk memacu landskap kewangan Malaysia boleh memohon untuk menyertai program pemecut ini melalui laman web GXBank.

Norman Matthieu Vanhaecke, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan di Cradle berkata, "TeXnovasi bukan sekadar sebuah platform sahaja - ia adalah pemangkin untuk usahawan teknologi Malaysia berkembang ke peringkat antarabangsa, mengubah idea yang berwawasan menjadi penyelesaian dunia sebenar. Dengan menangani cabaran khusus industri dan pelanggan, TeXnovasi mempunyai potensi untuk membimbing usahawan teknologi menghasilkan inovasi yang terangkum dan direka untuk pertumbuhan mampan, justeru memastikan kejayaan jangka panjang mereka selaras dengan aspirasi Malaysia.”

“Di Cradle, kami komited untuk membina ekosistem yang bukan sahaja menyokong inovasi tempatan tetapi juga memperkasakan syarikat perintis dengan akses kepada pasaran yang lebih luas, memacu pertumbuhan, dan memupuk ekosistem yang berhubung dan berdaya tahan melalui kerjasama rentas sempadan. Bersama rakan kongsi kami, kami berharap TeXnovasi akan menjadi wadah untuk menyokong matlamat negara dalam membina tenaga kerja berorientasikan teknologi yang tersedia untuk masa depan, serta menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi serantau.”

Turut hadir di acara pelancaran adalah rakan kongsi seperti Grab Malaysia, Jaya Grocer, Moomoo, PayNet dan Shopback, yang mana masing-masing akan menawarkan tawaran dan promosi yang disesuaikan untuk pelanggan dalam masa terdekat.

Lampiran:
Pengumuman lain dari GX 2.0

Mulai November 2024, para pelanggan boleh menikmati pengalaman perbankan yang memberi lebih ganjaran, interaktif, dan diperibadikan.

#GXWrapped → Berdasarkan tabiat kewangan pelanggan di aplikasi GXBank, mereka boleh mengetahui “Money Story” - ringkasan yang mudah difahami mengenai corak menabung dan perbelanjaan mereka - dan personaliti kewangan mereka: The Cermat Saver, Rewards Hunter, Runcit Realist, Enjoy- lah Spender, Show Stopper dan Binky Boss


Koleksi Lencana -> Pelanggan boleh memperoleh lencana yang disertakan dengan tawaran eksklusif dan hadiah misteri apabila mereka berjaya melengkapkan cabaran dalam aplikasi. Bermula dengan enam lencana: GX Pioneer, The Socialite, Grab Guru, Steady Saver, QR Warrior, Tauke Cashback - GXBank akan memperkenalkan lebih banyak lencana secara berperingkat dalam masa terdekat


AIni → Chatbot GenAI multi-bahasa pertama oleh GXBank boleh mengenal- pasti dan membalas pertanyaan dengan pantas dan efisien, dalam bahasa yang digunakan oleh pelanggan. Jika perlu, AIni akan mengarahkan soalan kepada GXBuddy untuk bantuan lanjut


Kad GX → Sejajar dengan apa yang pelanggan hargai mengenai Kad GX, ia akan terus menjadi teman perjalanan yang paling menguntungkan. GXBank akan mengekalkan pulangan tunai segera untuk setiap transaksi dan tiada caj untuk pengeluaran ATM - dalam dan luar negara. Selain itu, pelanggan akan menerima 3X GrabRewards untuk perbelanjaan Grab di luar negara

Buka Akaun GX hari ini, secepat 4 minit sahaja.

Sertai lebih daripada 1,000,000 rakyat Malaysia dan temui cara yang lebih bijak untuk menyimpan, membelanjakan, dan mengembangkan wang anda.