Diterbitkan pada: 7 Jun 2024

Impian Gigih Biasiswa GXBank Kini Dibuka Untuk Permohonan


Impian Gigih Biasiswa bertujuan meringankan kos pengajian tinggi, serta memperkasakan para pelajar di Malaysia mengejar impian masa depan

Pemohon yang layak akan menerima sokongan sepanjang tempoh matrikulasi – termasuk dana dan peluang penambahbaikkan diri

Program ini memperlihatkan kesinambungan dan komitmen GXBank kepada komuniti dalam memacu keterangkuman dan kecelikan kewangan



PETALING JAYA, 7 JUN 2024 - GX Bank Berhad (GXBank) kini memperkenalkan Impian Gigih Biasiswa, sebuah program biasiswa yang menyasarkan akses saksama untuk para pelajar Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi. Penawaran biasiswa ini adalah sebahagian daripada program Impian Gigih GXBank yang memperlihatkan komitmen berterusan syarikat bank digital tersebut dalam memacu keterangkuman dan kecelikan kewangan, serta menggalakkan mobiliti sosial antara generasi, dengan pendidikan sebagai dasar utama.

“Salah satu trend pasca-pandemik di Malaysia menunjukkan keciciran bilangan pelajar dalam melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi, terutamanya daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah. Ini disebabkan oleh peningkatan kos pengajian diploma atau ijazah dan juga kadar peningkatan kos sara hidup yang membebankan,” kata Hildah Hamzah, Ketua Turus di GXBank.

Impian Gigih Biasiswa bertujuan meringankan kebimbangan dana yang dihadapi oleh para pelajar yang layak dengan menyediakan sokongan yang merangkumi yuran penuh untuk keseluruhan tempoh pengajian ijazah sarjana muda dan elaun sara hidup. Pemohon yang berjaya juga akan menerima peluang penambahbaikkan diri – termasuk program pendedahan di luar negara, kursus tambahan untuk membina daya tahan dan melengkapkan penerima biasiswa dengan kemahiran tersedia masa depan, serta latihan praktikal bersama GXBank.

Pendidikan Pemangkin Kemajuan Ekonomi dan Sosial
Matlamat negara untuk mengembangkan bakat, seiring dengan infrastruktur dinamik dan dasar-dasar progresifnya, menyumbang dan mendorong transformasi struktur ekonomi ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi.

Oleh itu, pendidikan bukan sahaja memainkan peranan penting dalam memecahkan kitaran kemiskinan, tetapi juga merupakan teras utama dalam usaha menghasilkan bakat bernilai tinggi – salah satu komponen penting dalam memajukan aspirasi ekonomi digital Malaysia.

“Kami di GXBank komited untuk memberikan peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk merealisasikan impian mereka.. Bakat cemerlang yang menunjukkan pencapaian akademik yang menyerlah, potensi kepimpinan, dan keinginan untuk mencipta impak positif dalam komuniti, layak mendapat peluang untuk memajukan diri mereka. Situasi kewangan tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk mencapai impian mereka. Kami bertekad untuk memupuk bakat yang terbaik dan paling cemerlang untuk memimpin transformasi landskap perbankan digital Malaysia,” tambah Hildah.

Butiran Biasiswa
Pemohon yang berminat perlu memenuhi syarat di bawah serta mengemukakan Surat Sokongan (300-500 perkataan) yang memperincikan aspirasi mereka untuk komuniti dan perubahan selepas tamat pengajian.

Kriteria kelayakan:
Hanya terbuka kepada mereka yang memohon sebagai pelajar sepenuh masa di mana-mana universiti awam Malaysia;
Warganegara Malaysia berumur 22 tahun dan ke bawah pada tahun permohonan;
Pendapatan kasar isi rumah bulanan RM8,000 dan ke bawah;
Penerima tidak boleh menerima biasiswa/tajaan/perjanjian ikatan daripada penaja lain sepanjang tempoh pengajian;
Keputusan: CGPA 3.3 dan ke atas dalam STPM / Diploma / A-Level / Matrikulasi / Asasi atau setaraf;
Telah mendapat tempat di universiti awam Malaysia.

Tarikh tutup permohonan adalah pada 6 Julai 2024.

Untuk maklumat penuh berkaitan program biasiswa ini, sila layari laman Impian Gigih Biasiswa.

Buka Akaun GX dan mohon FlexiCredit sekarang.

Semua dalam beberapa minit. Buka akaun dan mohon kredit, bila-bila, di mana-mana.