Diterbitkan pada: 6 Mei 2024
GXBank dan Zurich Malaysia Menjalin Kerjasama 10 Tahun untuk Menangani Keperluan Insurans bagi Golongan Kurang Kemampuan
●
Produk pertama untuk rakyat Malaysia dijangka dilancarkan pada suku ketiga 2024
●
Peningkatan kadar jenayah siber menambahkan risiko kewangan bagi rakyat Malaysia; penyelesaian disasarkan terutamanya untuk membantu komuniti rentan
PETALING JAYA, 6 Mei 2024 – GX Bank Berhad (GXBank) dan Zurich General Insurance Malaysia Berhad serta Zurich Life Insurance Malaysia Berhad mengumumkan kerjasama tiga pihak bankasurans eksklusif selama 10-tahun, untuk menyediakan produk perlindungan mikro bagi rakyat Malaysia yang kurang kemampuan.
Dengan memanfaatkan teknologi intuitif dan berpacukan data, GXBank akan mengenal pasti rungutan dan keperluan pelanggan, dan bekerjasama dengan Zurich Malaysia untuk menghasilkan produk insurans digital yang
inovatif dan mesra pengguna pada harga mampu milik.
Produk pertama dijangka akan diperkenalkan oleh GXBank dan Zurich Malaysia pada suku ketiga tahun ini, dan bertujuan melindungi individu yang kurang kemampuan daripada transaksi tanpa kebenaran akibat jenayah siber, serta transaksi yang dicetuskan oleh mesej penipuan elektronik.
Pei-Si Lai, Ketua Pegawai Eksekutif, GXBank, berkata kerjasama dengan Zurich Malaysia selaras dengan komitmen Bank untuk menyediakan penyelesaian perbankan yang sesuai untuk rakyat Malaysia yang kurang kemampuan. “Kerjasama ini membolehkan kami
menangani kebimbangan rakyat Malaysia terhadap keselamatan perbankan digital, dan melindungi mereka daripada sebarang situasi dan kewangan yang tidak diduga. Sebagai sebuah bank digital yang baharu, kami teruja di atas peluang bekerjasama dengan Zurich Malaysia yang menawarkan perkhidmatan di 200 negara dan merupakan antara syarikat terkemuka yang sentiasa memacu transformasi perkhidmatan insurans. Bersama-sama, kami berharap dapat menawarkan produk insurans yang memenuhi keperluan pelanggan dan mampu milik oleh rakyat Malaysia.”
Sependapat dengan Pei-Si,
Ketua Pegawai Eksekutif Negara/Ketua Zurich Malaysia, Junior Cho, turut menghargai peluang kerjasama dengan bank digital pertama di Malaysia. Menurut Junior, “Bagi kebanyakan orang, keperluan perlindungan insurans sering dipertimbangkan antara kemampuan dan situasi kewangan mereka. Ditambah pula dengan pemahaman rendah tentang keperluan perlindungan insurans, faktor-faktor ini merupakan punca utama masyarakat, terutamanya golongan rentan, masih tidak memiliki insurans. Kerjasama jangka panjang dengan GXBank ini membolehkan kami lebih fleksibel dan cekap untuk menyediakan produk insurans mampu milik yang bersesuaian. Kami berharap dapat memperkasa rakyat Malaysia demi masa depan dan kewangan mereka yang lebih bermakna.”
Perlindungan insurans merupakan keperluan yang penting, namun masih sukar diperoleh
Menurut laporan kajian oleh PwC pada tahun 2023, situasi semasa membimbangkan di mana 84% daripada populasi berumur antara 18-34 tahun tidak memiliki insurans. Statistik lain juga menggambarkan senario yang membimbangkan dengan seramai 58% dewasa di Malaysia tidak memiliki sebarang insurans hayat atau takaful.
Keadaan itu bertambah buruk dengan peningkatan jenayah siber di negara ini. Kes penipuan dalam talian telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh lima tahun dari tahun 2019 hingga 2023, dengan kerugian yang dianggarkan RM1.3 bilion untuk tahun 2023 (Januari hingga November).
Keperluan memiliki perlindungan amat kritikal, terutamanya dengan situasi dunia kini yang semakin tidak menentu. Melalui kerjasama ini, Pei-Si dan Junior berharap dapat membantu komuniti yang kurang kemampuan dengan menyediakan produk insurans mampu milik yang tidak mengenakan beban kewangan tambahan pada belanjawan yang sememangnya sudah ketat.