Diterbitkan pada: 30 November 2023
GXBank Kini Tersedia Untuk Jutaan Rakyat Malaysia
●
Aplikasi GXBank terbuka kepada semua rakyat Malaysia, selangkah lebih dekat dengan keterangkuman dan daya tahan kewangan
●
Data berkenaan pengguna beta GXBank menunjukkan rakyat Malaysia menabung untuk kecemasan, percutian dan pelaburan
●
Kad debit GXBank menawarkan pulangan tunai 1% tanpa had bagi setiap transaksi
PETALING JAYA, 30 November 2023 - Aplikasi perbankan GX Bank Berhad (GXBank) kini tersedia secara rasminya untuk jutaan rakyat Malaysia. Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh
Datuk Zaiton Mohd Hassan, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah GXBank dan Pei Si Lai, Ketua Pegawai Eksekutif GXBank, turut dihadiri oleh
YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan Malaysia dan Encik Hsieh Fu Hua, Pengerusi GXS..
Majlis ini diadakan antara lain sebagai penghargaan kepada pelbagai pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan GXBank, termasuklah para pemegang saham, rakan perniagaan, serta pengguna beta dan pekerja terawal.
Pei Si Lai berkongsi, “Sejak kami memulakan operasi pada September 2023, kami telah menguji aplikasi kami menerusi ribuan pengguna beta. Hampir
50% daripada mereka telah menggunakan fungsi “Pockets” - fitur menabung dalam aplikasi GXBank - untuk tiga tujuan utama, iaitu
kecemasan, percutian dan pelaburan Setelah menguji selama beberapa bulan di kalangan kakitangan GXBank, pemegang saham, rakan perniagaan dan rakyat Malaysia yang dipilih, kami berasa optimistik dan yakin untuk melebarkan akses kepada seluruh Malaysia.”
Hal ini selari dengan tinjauan Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus 2023 yang mendapati rakyat Malaysia ingin lebih banyak menabung kerana jumlah simpanan mereka kini hanya mampu bertahan sehingga tiga bulan. Perkara tersebut berkait rapat dengan tujuan utama GXBank memperkenalkan ‘Pockets’, iaitu untuk memupuk amalan menabung terutama dikalangan generasi muda.
Perjalanan Menjadi Bank Digital Pertama di Malaysia
Datuk Zaiton Mohd Hassan, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah GXBank melahirkan rasa syukur terhadap Bank Negara Malaysia di atas segala bantuan dan bimbingan.
“Kebanyakan jenama Malaysia bermula dengan satu visi yang bersederhana dan seiring dengan masa, membina reputasi mereka sebagai jenama yang dikenali ramai. Keteguhan jenama-jenama buatan Malaysia ini memberi inspirasi kepada kami untuk membina sebuah bank yang bertumpukan Malaysia - dengan tujuan menjadikan urusan perbankan lebih lancar, mudah dan tersedia kepada semua. Perjalanan ini penuh dengan cabaran, tetapi kami berasa terharu dengan sokongan daripada pelbagai pihak yang telah membawa kami sehingga ke saat ini. Sebagai bank digital pertama di Malaysia, kami ingin meneruskan kerjasama ini untuk merealisasikan visi kami untuk membina sebuah negara yang mempunyai keterangkuman dan daya tahan kewangan.”
GXBank akan terus memperkenalkan fitur tambahan secara progresif, termasuk kad debit mereka - Kad GX - serta bagaimana berbagai fitur kad tersebut akan memanfaatkan rakyat Malaysia.
Pei Si turut menzahirkan rasa teruja dengan pelancaran Kad GX kerana ianya simbolik sebagai satu cara yang nyata untuk bank itu berhubung dengan pelanggan mereka, “Sebagai sebuah bank digital, kami lahir dari teknologi tanpa cawangan fizikal. Oleh itu, Kad GX sangat istimewa kepada kami kerana kini ia merupakan satu-satunya manifestasi fizikal GXBank yang boleh disimpan dengan bangga di dalam poket.
Kad GX, sebuah kerjasama diantara GXBank dan Mastercard, menawarkan pelbagai ganjaran seperti
pulangan tunai 1% tanpa had bagi setiap transaksi dalam talian dan secara fizikal, pengecualian caj tambahan bagi transaksi asing, pengecualian caj pemprosesan RM1 bagi pengeluaran tunai di 10,000+ ATM MEPS seluruh negara, dan pemberian 1.5x GrabRewards di Jaya Grocer. Tambahan lagi, reka bentuk kad tersebut menampilkan warna unik bank digital itu yang membezakannya daripada kad-kad yang lain, justeru menjadikannya lebih mudah dikenali.
GXBank memiliki
lesen daripada Bank Negara Malaysia dan
semua deposit dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit,
mengikut piawaian kawalselia. Para pelanggan juga boleh meraih faedah harian sebanyak 3% setahun apabila mereka menyimpan wang dalam akaun utama mahupun “Pockets”, yang bertujuan untuk mendorong mereka menabung untuk keperluan dan impian mereka. Melalui aplikasi GXBank juga, mereka akan menerima panduan secara berkala untuk mempercepatkan pencapaian matlamat simpanan mereka.
Muat turun aplikasi GXBank dari
Google Play Store atau
Apple App Store. Untuk maklumat lanjut, lawati
laman web GXBank.