Diterbitkan pada: 14 September 2026
GXBank Jalin Kerjasama Pembahagian Risiko Bersama IFC, Buka Akses Pembiayaan PMKS Sehingga US$110 Juta
• International Finance Corporation (IFC) - anggota Kumpulan Bank Dunia yang berfokus pada sektor swasta - menjamin perlindungan kredit kerugian sulung (first-loss protection) sehingga US$4.95 juta, sekaligus menyokong pengurusan risiko berasaskan teknologi GXBank di samping mengoptimumkan kecekapan modal.
• GXBank muncul bank digital pertama di rantau ini yang menerima jaminan kerugian sulung daripada IFC, memanfaatkan penilaian kredit digital untuk merapatkan jurang kredit negara.
PETALING JAYA, 14 September 2026 – GX Bank Berhad (GXBank) dan International Finance Corporation (IFC), anggota Kumpulan Bank Dunia dengan fokus pada sektor swasta, telah memeterai kerjasama strategik pembahagian risiko - satu pencapaian bersejarah bagi sebuah bank digital di Malaysia. Di bawah kerjasama ini, IFC akan menyediakan perlindungan kerugian sulung (unfunded first-loss coverage) sehingga US$4.95 juta.
Kemudahan ini bertujuan melindungi serta memperluas portfolio pinjaman GXBank buat golongan yang belum dan kurang mendapat perkhidmatan kewangan (unserved & underserved), terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Inisiatif ini disasarkan mampu menyokong portfolio pinjaman PMKS bernilai sehingga US$110 juta.
Dengan menyerap risiko kemungkiran awal (initial default risk), kemudahan ini melengkapi kerangka jaminan tempatan sedia ada. Langkah ini membolehkan GXBank menyalurkan kredit secara selamat kepada perniagaan yang tiada rekod kredit lengkap (thin-file) atau cagaran fizikal konvensional.
Mengoptimumkan Pengagihan Modal dan Menetapkan Penanda Aras Pematuhan Global
Selain mitigasi risiko, sokongan daripada institusi multilateral bertaraf penilaian AAA ini memperkukuh kecekapan modal GXBank di bawah kerangka Bank Negara Malaysia (BNM). Pengurangan keperluan modal berasaskan risiko (risk-weighted capital) bagi pinjaman ini membebaskan kapasiti kunci kira-kira yang kritikal - sekaligus membolehkan GXBank menyalurkan pembiayaan automatik secara selamat tanpa menjejaskan momentum pertumbuhannya.
"Kerjasama dengan IFC ini merupakan satu bentuk undi kepercayaan antarabangsa terhadap enjin risiko proprietari serta kematangan operasi GXBank," kata Kaushik Chowdhury, Ketua Pegawai Eksekutif GXBank. "Usahawan mikro adalah akar tunjang ekonomi Malaysia, namun syarat cagaran konvensional menyebabkan sebahagian besar permintaan kredit mereka tidak dapat dipenuhi. Melalui gandingan penilaian kredit berasaskan teknologi kami dengan perlindungan kerugian awal IFC serta skema jaminan tempatan seperti Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC), kami mampu memperluas akses modal secara mampan sambil memastikan imbangan duga kekal berdaya tahan. Impak model kami kini semakin nyata - 15,000 PMKS telah membuka akaun digital bersama kami, yang membawa kepada lebih 5,000 pengeluaran pinjaman setakat ini."
"Perluasan akses kewangan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi yang inklusif di pasaran membangun," kata Allen Forlemu, Pengarah Industri Rantau bagi Kumpulan Institusi Kewangan, International Finance Corporation (IFC). "Kerjasama ini membuktikan bagaimana inovasi digital mampu merapatkan jurang pembiayaan buat PMKS, sekaligus menyokong perluasan perniagaan, penciptaan peluang pekerjaan, dan ketahanan ekonomi yang lebih kukuh di Malaysia."
Hasil Terbukti Menerusi Inisiatif Pertumbuhan PMKS
Kerjasama ini memperkukuh strategi menyeluruh GXBank dalam menangani jurang kredit yang dihadapi oleh 97.4% PMKS di Malaysia. Inisiatif berfokus terkini telah menunjukkan perkembangan positif:
●
Pencapaian CGC: Sejak Mac lalu, GXBank telah meluluskan pembiayaan bernilai RM27 juta yang dijamin oleh CGC. Perkembangan ini mendorong keputusan untuk meningkatkan had kredit maksimum daripada RM150,000 kepada RM350,000 bagi perniagaan yang sedang berkembang.
●
Integrasi Finory: GXBank berjaya menyempurnakan bukti konsep (Proof-of-Concept / POC) bersama Finory, syarikat pemula teknologi kewangan tempatan dan pemenang Program Pemecut TeXnovasi GXBank. POC ini menilai kebolehlaksanaan pendaftaran automatik peniaga mikro menggunakan lesen perniagaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).